I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 14 April 2011

Program Pemantapan Amali Solat (12/4/2011)








Tuesday, 12 April 2011

Membongkar misteri Firaun

SEJARAH merekodkan tamadun Mesir purba antara tamadun terhebat sepanjang zaman. Namun tidak ramai yang tahu secara terperinci perkembangan tamadun itu kerana kebanyakan yang diketahui lebih menjurus soal Firaun dan piramid. 

Sebenarnya, banyak misteri tersembunyi di sebalik lipatan sejarah tamadun Mesir purba dan buku Misteri Firaun Musuh Para Nabi, membongkar kisah raja yang dikaitkan dalam perjalanan hidup Nabi Musa as. 

Banyak persoalan yang dikemukakan buku ini sebagai pemula kepada perbincangan menjejaki sejarah tamadun Mesir purba termasuk mengkaji nas al-Quran yang turut menceritakan kisah Firaun yang terkenal sebagai raja zalim. 

Tidak dinafikan sebahagian kisah ditampilkan buku ini sudah menjadi cerita turun temurun tetapi buku Misteri Firaun Musuh Para Nabi mempunyai nilai tambah bagi meluaskan lagi pengetahuan dengan memuatkan pandangan serta kajian tokoh agama, pakar sejarah dan intelektual. 
Ia menjawab banyak persoalan kritikal mengenai Firaun kerana Firaun mana satukah yang menjadi musuh Nabi Musa kerana pemerintah lain turut memiliki nama atau gelaran Firaun. Justeru, perbincangan menjadi lebih menarik apabila soalan demi soalan dibangkitkan. 

Pastinya, jawapan dicari dapat meredakan debaran untuk mengetahui kisah selanjutnya misteri Firaun yang bermula dengan penyatuan Mesir dalam bahagian pertama buku setebal 303 halaman itu, diikuti bab Firaun Tutankhamun dan bab akhir kisah Nabi Musa. 

Pelajar patut ambil iktibar kesan kes salah laku pada masa depan

KES salah laku termasuk pergaduhan hingga kepada pembabitan dalam kejadian jenayah membabitkan pelajar bukan perkara baru. Sudah banyak kes seumpama ini dilaporkan menerusi media. Tidak kurang juga pelajar yang didapati bersalah dan menerima hukuman sebagai pesalah juvana. Khamis lalu media memaparkan satu lagi kes salah laku membabitkan pelajar berusia 14 tahun. Dalam kejadian itu, seorang guru wanita retak tulang hidung akibat ditumbuk pelajar Tingkatan Dua, di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Kangar. Kejadian itu berlaku selepas guru itu menegur pelajar berkenaan yang bergaduh di pekarangan sekolah. Apabila berlaku kes sebegini, kita tertanya-tanya apakah punca sebenar sehingga menyebabkan seorang pelajar tergamak mencederakan gurunya sendiri di kawasan sekolah. Walaupun isu pelajar bertindak kasar terhadap guru di negara ini tidak seteruk seperti kejadian di sesetengah negara lain, namun kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Justeru, adalah wajar semua pihak memberi perhatian serius perkembangan tidak sihat ini dan mencari jalan menanganinya secara berkesan. 

Agak sukar mencari jawapan berhubung tindakan pelajar berkenaan yang berani mencederakan gurunya di depan kelas dengan disaksikan pelajar lain. Apa silapnya dengan pelajar terbabit sehingga tidak takut dan hilang hormat kepada guru berkenaan? Apakah ibu bapa patut dipersalahkan kerana sikap biadap dan keterlaluan anak mereka itu atau apakah mungkin ia disebabkan pengaruh anasir luar. Kita tidak boleh menafikan tempat terbaik membentuk disiplin anak ialah di rumah, apatah lagi ia sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa serta keluarga. Alam persekolahan serta guru hanyalah sebagai pelengkap untuk membimbing pelajar supaya menjadi manusia berguna, khususnya dalam menjadikan mereka sebagai insan berakhlak mulia dan berilmu. Adalah tidak wajar guru dipersalahkan berhubung salah laku pelajar kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya mendisiplinkan pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil iktibar kes salah laku kerana jika kesalahan dilakukan itu serius dan didapati bersalah, ia pastinya membantut pembelajaran dan masa depan mereka. Itulah yang bakal dihadapi pelajar Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, apabila mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan guru disiplinnya.
Pelajar itu dikesan melakukan dua kesalahan besar di sekolah berkenaan. Selain menumbuk guru, pelajar berkenaan sebelum itu terbabit dalam pergaduhan. Akibat tidak dapat menerima teguran guru terbabit, pelajar terbabit menumbuknya. Dari segi peruntukan peraturan sekolah, guru disiplin dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi setiap pelajar. Apapun masalah yang timbul membabitkan pelajar dan guru tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembelajaran. Dalam menghadapi isu ini, ibu bapa harus bersikap rasional dan tidak membuta-tuli menyebelahi anak. Mereka mesti selidik dulu siapa yang benar dan salah serta mengutamakan perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan hukumannya akan diputuskan 4 Mei ini, adalah wajar mana-mana pihak melihat keputusan mahkamah itu sebagai peringatan kepada pelajar supaya tahu menghormati dan menghargai guru.

Sunday, 10 April 2011

Persoalan Agama: Batal solat jika baca doa bukan dalam bahasa Arab



Soalan: 

BOLEHKAH seseorang ketika sedang solat, apabila ia teringat keluarga atau hartanya, ia mengulangi doa dalam keadaan masih solat dengan harapan Allah dapat melindungi keluarga dan hartanya.
Ahmad, Petaling Jaya.


Jawapan: 

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah, waba’du. 

Imam an-Nawawi dalam buku beliau al-Majmu’ menjelaskan bahawa berdoa dalam solat tidak membatalkan solat. Namun, beliau menyebut ada dua jenis doa yang dapat tergambar ketika seorang solat iaitu doa dalam bahasa Arab dan doa yang bukan dalam bahasa Arab. 
Adapun doa dalam bahasa Arab yang pernah diajar Rasulullah SAW, ulama sependapat mengenai kebolehannya. Sedangkan doa yang tidak pernah diajarkan Nabi SAW walaupun dalam bahasa Arab, maka ulama berbeza pendapat mengenai boleh dan tidaknya. 

Ini berkaitan dengan pemahaman mengenai larangan mengucapkan kata atau berbicara yang tidak pernah diajarkan Nabi. 

Seperti diketahui, solat adalah ibadat murni kerana cara dan bacaannya diajarkan dan atas dasar ini, Nabi SAW bersabda dalam hadisnya yang popular: “Solatlah sebagai mana kamu melihat aku solat.” 

Apabila menyebut mengenai doa, saya cenderung membenarkan apa pun doa baik yang pernah diajar Nabi, ataupun yang tidak pernah diajarkannya, baik dalam bahasa Arab atau bahasa selainnya. 

Bukankah Nabi SAW mengajarkan dalam satu hadis bahawa: “Sedekat-dekat seseorang kepada Allah, adalah pada ketika ia sujud. Oleh itu perbanyakkan berdoa ketika itu.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’I melalui Abu Hurairah. 

Anjuran untuk kita memperbanyakkan doa bukan hanya daripada apa yang sudah diajarkan Nabi SAW, tetapi mencakupi segala yang diharapkan oleh seorang Muslim, yang sudah tentu mempunya pelbagai bahasa, bahkan sebahagian besar tidak dapat berbahasa Arab. 

Namun, berkaitan dengan soalan saudara, bukan pada tempatnya untuk mengulang doa ketika solat iaitu suatu doa yang tidak diajar oleh Nabi SAW. 

Memohon perlindungan Allah yang berhubung hal keluarga dan harta benda, sebaiknya dilakukan sesudah selesai solat, bukan dalam solat, apatah lagi doa itu bukan daripada bisikan hati tetapi diucapkannya (walaupun yang mendengarnya seorang diri). 

Apabila seseorang mengucapkannya bukan dalam bahasa Arab ketika dalam solat, maka ia membatalkan solat saudara. 
Wallahua’lam.