I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 9 April 2011

Persoalan Agama: Nama pengaruhi keperibadian insan Bersama Ustaz Zahazan Mohamed



Umat Islam dituntut beri panggilan yang baik untuk anak kerana ia juga umpama doa 

Soalan:
ASSALAMMUALAIKUM ustaz. Adakah nama boleh menjadi tidak sesuai untuk seseorang seperti menggunakan nama ulama dan pemimpin Islam tersohor. Ketika di sekolah dulu, ada guru mengatakan saya berat nama. Sehingga kini saya kurang berjaya seperti rakan sebaya yang lain. Apa yang saya inginkan tidak menjadi. Apakah kerana kesilapan dosa lalu atau punca lain.
Zack, 
Bentong.
 

Jawapan: 

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah, waba’du. Rasulullah SAW banyak mengubah nama tidak baik maksudnya kepada nama yang baik atau lebih sesuai. 
Nama penting kerana pada Hari Kiamat, manusia dipanggil dengan nama sendiri dan nama ayahnya seperti dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya pada Hari Kiamat, kamu dipanggil dengan nama kamu dan ayahmu. Oleh kerana itu, namakan nama kamu dengan nama yang baik.” 

Kedua, nama mempunyai pengaruh terhadap keperibadian dan merupakan doa seperti diriwayatkan Malik dalam kitab Muwaththa, daripada Yahya Sa’id, Umar al-Khatthab pernah bertanya seseorang: “Siapa namamu? Orang itu menjawab: Jamrah. Umar bertanya lagi: Anak siapa? Orang itu menjawab: Anak Syihab. Umar bertanya lagi: Daripada kabilah mana? Orang itu menjawab: Daripada kabilah al-Harqah. Di mana tempat tinggalmu? Di kampung Nar (api). Umar bertanya lagi: Di daerah mana? Orang itu menjawab: Di Dzati Lazha.” 

Umar terus berkata kepadanya: “Segeralah pulang. Temuilah keluargamu. Mereka semua terbakar.” Ternyata apa yang dikatakan Umar itu berlaku. 

Nabi SAW tidak suka dengan nama buruk dan sangat membencinya jika ia digunakan untuk manusia, tempat, kabilah atau gunung. Justeru, banyak nama yang ditukar Rasulullah SAW. 

Abu Bakar Munzir meriwayatkan daripada Ali beliau berkata: Ketika Hasan lahir, aku memberinya nama Harb (perang). Kemudian datang Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang kamu berikan? Kami katakan: Harb. Baginda bersabda: “Jangan, dia adalah Hasan.” 

Ali berkata: “Ketika Husain lahir, aku menamakannya Harb. Lalu datang Nabi SAW, Baginda berkata: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang engkau berikan?” Kami katakan: Harb. Baginda bersabda: Jangan, dia adalah Husain.” 

Ali berkata: “Ketika anak ketiga lahir, aku memberinya nama Harb juga. Lalu datang Nabi SAW dan bertanya: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang engkau berikan? Kami katakan: Harb. Baginda pun bersabda: Jangan, dia adalah Muhsin. Kemudian Baginda melanjutkan sabdanya: Sesungguhnya aku menamakan mereka seperti nama anak Harun iaitu Syabbar, Syabbir, dan Musyabbir. 

Dalam kitab Mushannaf, Ibnu Abu Syaibah ada pula riwayat daripada Khautsamah. Beliau berkata” “Dulu pada masa jahiliah, nama ayahku Aziz, maka Rasulullah SAW mengubahnya menjadi Abdurrahman.” 

Dalam kitab al-Adab, Imam al-Bukhari meriwayatkan: Ibnu Abdul Rahman Said al-Makhzumi pernah menceritakan sebelumnya beliau bernama ash-Sharm, lalu Rasulullah SAW memberinya nama Said. 

Raithah Muslim pernah menceritakan kepadaku daripada ayahnya, beliau berkata: “Saya mengikuti perang Hunain bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya kepadaku: Siapakah namamu? Saya menjawab: “Ghurab. Baginda bersabda: Jangan, namamu sekarang ialah Muslim.” 

Perubahan nama dilakukan selain kerana tidak baik dan makruh, kadangkala kerana maslahatan lain meskipun nama itu sebenarnya sudah bagus seperti dilakukan Rasulullah SAW ketika mengubah nama Barrah menjadi Zainab kerana Baginda tidak suka mendengar seseorang seolah-olah mengaku dirinya suci. 

Perkara itu dinyatakan dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah, bahawa Zainab dulunya bernama Barrah. Maka orang berkata: Beliau mengaku dirinya suci. Oleh kerana itu Rasulullah SAW memberinya nama Zainab. 

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, seorang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, saya mendapat anak. Nama apakah yang terbaik untuknya? Baginda SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nama yang baik untuk kamu semua adalah Harits dan Hammam. Nama paling bagus adalah Abdullah dan Abdul Rahman. Berilah nama dengan nama di kalangan nabi dan jangan memberi nama dengan nama Malaikat.” 

Saudara, saya tidak pasti nama yang saudara maksudkan. Namun sekiranya nama itu termasuk dalam nama yang diharamkan, maka sewajarnya nama saudara ditukar. Wallahua’lam. 

KAMIL 2o11

Salam hari ahad,
Salam 1Malaysia,Alhamdulilah, selesai sudah program kamil 2011..
Segalanya berjalan dengan lancar...Program ini disertai lebih dari 800 orang pelajar dari 11 buah sekolah yang berada di Zon 1 daerah Kuala LAngat.


Seawal 7 pagi para peserta telah berkumpul di perkarangan sekolah dengan seribu impian yang terpendam di Qalbu... Dan mengharapkan apa yg diusahakan membuahkan hasil.

Bas bertolak pada jam 7.45 pagi dan tiba di SRA Sijangkang jam 8.10 pagi. Setibanya di sana,para peserta terus mendaftarkan diri di meja urusetia. Ketibaan PAra peserta disambut baik oleh pihak tuan rumah.

Tepat jam 9.00 pagi acara dimulakan. Pelbagai aksi seta ragam peserta telah dipertontonkan setelah penat lelah usaha mereka lebih dari sebulan. 






jam 11.30 rata-rata acara pertandingan telah ditamatkan. Para peserta tidak sabar-sabar menantikan keputusan yang sedang disiapkan oleh pihak kehakiman di bilik hakim @ bilik kebal. disamping itu majlis turut menunggu kehadiran YB Dr. Ahmad Yunus B Hairi, Us. Mohd Don Bin Raban, dan jemputan-jemputan lain.


Jam 12.30 tgh semua jemputan hadir dan disambut dengan selawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad saw dan acara terus dimulakan. Majlis penutupan dipengerusikan oleh Muhammad Firdaus Bin Rahmat. Acara seterusnya adalah ucapan daripada pengerusi KAMIL 2011, Us.Musliman B Serimin dan seterusnya ucapan Perasmian penutup oleh YB Dr. Ahmad Yunus B Hairi. 

Selepas itu, barulah acara yg amat dinanti-nantikan iaitu pengumuman pemenang pertandingan amal islami Zon 1 bagi sesi 2011. Keputusan telah disampaikan oleh ketua panel hakim iaitu Us.Hakim B Asar. Dewan amat meriah apabila keputusan diumumkan. 

Johan keseluruhan bagi acara individu disandang oleh SRA Sijangkang
Johan keseluruhan bagi acara kumpulan juga disapu bersih oleh SRA Sijangkang
Johan keseluruhan KAMLI Zon 1 2011 yang pastinya menjadi hak milik mutlak SRA Sijangkang..

Kepada lain-lain sekolah, diharapkan dapat menekadkan usaha bagi memperoleh kejayaan dimasa hadapan.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Al-Fadhil Us. Solekhan Bin Rauf serta YB Dr. Ahmad Yunus B Hairi.






Majlis telah ditangguhkan pada jam 2.00 petang. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua penyumbang2 yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program seperti ini. Semoga pada masa akan datang, akan berlaku lagi peningkatan mutu acara pada program2 seperti ini.

Wassalam...
Salam persahabatan

Thursday, 7 April 2011

Fitnah Lebih Berbahaya Dari Membubnuh

Al-Quran beri panduan tidak pandang remeh, nilai kebenaran berita diterima 

PERBUATAN saling memfitnah banyak berlaku dalam masyarakat hari ini yang bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Akan muncul suatu ketika iaitu ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Riwayat Muslim)
Fitnah diertikan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban dan kelemahan orang serta memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan atau tulisan seperti surat layang, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web sosial dan e-mel.
Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 191) 

“Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah.” (Surah al-Qalam, ayat 29). 

Disebabkan terlalu banyak perkara palsu dan pembohongan dalam fitnah, pembuat fitnah biasanya menyembunyikan diri supaya tidak diketahui kerana tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatan itu palsu. 

Pembuat fitnah tidak berjaya jika tidak dibantu orang yang menyebarkannya. Sebab itu kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya sama dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. 
Perkara ini dijelaskan dalam hadis diriwayatkan daripada Huzaifah, katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Riwayat al-Bukhari) 

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang menggunting lidah dan bibir mereka. Baginda bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka? Jibril menjawab: “Mereka ialah penyebar fitnah.” (Riwayat al-Tabrani). 

Lazimnya perbuatan memfitnah berlaku didorong oleh tamak, iri hati dan mementingkan diri. Ia juga boleh berlaku jika seseorang lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan (harta benda) melebihi kepentingan agama. 

Implikasi fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Jika membunuh hanya membabitkan orang tertentu dan berakhir pada masa tertentu, namun fitnah boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta serta nyawa dalam jangka masa panjang yang sukar disekat. 

Orang yang difitnah akan mempertahankan diri dan apabila tahap kesabarannya mula hilang menyebabkan ia bertindak lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. 

Diceritakan, pada zaman dulu ada lelaki kaya menuju ke pekan untuk membeli hamba. Dia ditawarkan hamba lelaki yang tiada cacat cela kecuali gemar memfitnah. Lelaki itu menganggap fitnah perkara ringan dan remeh, maka dia membeli hamba berkenaan. 

Selepas agak lama di rumah majikannya, hamba itu mula berkata kepada isteri lelaki itu bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Hamba itu mencadangkan isteri majikannya segera menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna iaitu mengambil bulu roma pada leher suaminya dengan menggunakan pisau tajam agar tidak terasa sakit ketika si suami tidur. Oleh kerana percaya si isteri berusaha mendapatkan pisau tajam. 

Kemudian hamba itu memberitahu tuannya bahawa si isteri akan membunuhnya ketika dia tidur. Ketika pura-pura tidur, datang si isteri membawa pisau. Ketika lehernya dipegang lelaki itu segera bangun merampas pisau berkenaan lalu terus membunuh isterinya. Keesokannya keluarga si isteri menuntut bela atas kematian itu dengan berbunuhan antara kedua-dua pihak. 

Kisah ini memberi pengajaran penting. Pertama, fitnah tidak boleh dianggap ringan dan remeh kerana boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa. Kedua, perlu menilai kesahihan berita di sampaikan seseorang. 

Sebenarnya untuk menilai kebenaran berita yang disebarkan, al-Quran meletakkan panduan seperti dinyatakan. beberapa ayat al-Quran antaranya firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6). 

Penulis ialah Felo Akademik Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM